Pages

25 October 2010

2:58 AM - No comments

TERUSKAN PERJUANGAN WAHAI SAHABAT




Assalamualaikum, Wahai sekalian saudara-saudara ku. Terasa rindu benar hati ini untuk bermadah di dalam laman ini. Sekian lama tidak berkongsi ilmu yang diberikan oleh Allah SWT untuk dirasai bersama. Rindukan majlis ilmu di Masjid Jame' Pekan Kajang yang tidak terhingga setelah saya bermujahadah sebagai seorang mahasiswa IPTA dari Julai 2010 sehingga ke detik hari ini. Akhirnya saya meluahkan nukilan yang tidak seberapa ini sebagai Muqadimah awalan untuk saya berkarya semula di laman blog saya ini setelah sekian lama meninggalkan blog ini.



Allah SWT sentiasa bersama hamba-hambaNya.
Apakah kita sentiasa berfikir kita berseorangan?

Kasih sayang Allah Allah SWT kepada hambaNya amat luas. Setelah sekian lama saya berdoa kepadaNya, akhirnya rintihan saya dimakbulkan oleh Allah SWT. Rintihan hati ini bermula dengan berniat untuk menyambung pengajian di IPTA. Dengan pencapaian diploma yang ada, hati bermula rasa resah gelisah adakah saya ini layak ke IPTA setelah hampir 1 tahun saya mencubanya tetapi tidak berjaya. Saban hari tidak putus-putus harapan dengan berdoa kepada Allah SWT agar saya berpeluang untuk ke IPTA. Alhamdulillah dengan berkat kesabaran, akhirnya saya mendapat tawaran ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bangunan walaupun ia ditawarkan dalam siri pengambilan yang ke dua. Wahai saudara-saudaraku, berdoalah kepada Allah SWT sekiranya kita ada hajat yang diinginkan, meluahkan sesuatu kepada Allah SWT yang Maha Mendengar akan rintihan hambanya. Tatkala doa kita dimakbulkan, beringatlah selalu akan kewajiban kita sebagai hambaNya supaya sentiasa meningkatkan keimanan kita kepada Allah seperti firman Nya :


Maksudnya :
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo`a apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
[Al -Baqarah : 186]


Di Perlis, saya telah menemui sahabat-sahabat baru di sini. Alhamdulillah mereka yang sudi bersahabat dengan saya, baik sebagai rakan sekelas atau sebagainya, ikatan ukhuwah kami terjalin atas dasar kita bersahabat kerana Allah SWT. Ingatlah wahai sahabat-sahabat, antara golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT di Padang Mahsyar kelak adalah seseorang itu menjalinkan persahabatan dan berpisah dengan sahabatnya hanya kerana Allah SWT seperti diceritakan dalam hadith Rasulullah SAW.



Persahabatan terjalin kerana Allah SWT akan dirasai kemanisanya
ketika kita bersama mereka.


Dari bulan Ramadhan sehinggalah ke bulan Zulqaedah ini, pelbagai pengalaman dan ilmu yang telah saya pelajari dan alami sendiri sepanjang saya berada disini. Dengan suasana masyarakat di Perlis, majlis-majlis Ilmu yang ada di sini, aktiviti-aktiviti yang dijalankan para sahabat UniMAP merupakan pengalaman paling berharga sepanjang saya berada di sini. Namun kini tiba masanya saya mengundur diri dari suasana di UniMAP ini. Kerana saya telah mendapat tawaran menyambung pengajian anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Universiti Kuala Lumpur - Malaysian France Institute (UniKL -MFI) di bawah program Skim Tindikan Tenaga Pengajar Institut Pendidikam MARA. Program yang bakal saya ikuti ini adalah program persediaan selama 8 bulan dan sekiranya saya lulus, insyallah jika ada rezeki akan diterbangkan ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian Ijazah di Purdue University, Indiana.

Di dalam kegembiraan saya mendapat tawaran ini, terasa sebak pula untuk meninggalkan sahabat-sahabat saya di UniMAP yang baru saya kenali. Semoga Allah SWT merahmati kalian semua supaya kita meneruskan perjuangan kita sebagai mahasiswa - mahasiswi untuk menuntut ilmu Allah SWT supaya kelak kita akan menggunakkan ilmu yang diberikan oleh Allah SWT ini sebagai penggerak dalam membantu menegakkan syiar Allah SWT supaya berbakti kepada agama, bangsa dan negara pada masa akan datang. Mahasiswa yang benar-benar berjaya di sisi Allah bukan sahaja berjaya dalam akedamik tetapi juga mempunyai akidah,akhlak dan sasiah yang tinggi disulamkan juga keimanan, dan ketaqwaan kepada Allah dan mencintai Rasulullah SAW dari segala kepentingan yang ada di dunia ini. Semoga kita akan mencapai pemuda beriman seperti itu seperti nama-nama besar yang telah mengharumkan Islam sehebat Sultan Muhammad Al - Fateh, dan sebaik akhlak wanita puteri kesayangan Rasulullah SAW, Saidatina Fatimah Az-Zahrah antara contoh tauladan yang perlu kita contohi.


Pemuda Islam yang berjaya adalah pemuda yang mempunyai
ketaqwaan kepada Allah SWT yang tinggi.


Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga para sahabat. Ketika kita mengejar cita-cita kita dengan menimba ilmu untuk mencapai kecermerlangan dalam pembelajaran, ia meningatikan kita kepada suatu hadith bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda, manusia yang paling bijak di dalam dunia adalah manusia yang sentiasa ingatkan mati. Seperti juga yang dilakukan Khalifah Umur Abdul Aziz sehingga setiap malam beliau akan menangis setiap kali dia berada di atas katil tidurnya. Apabila ditanya oleh isteri beliau mengapa beliau slalu menangis. Beliau menjawab "Setiap kali aku berada di katil ini, aku sentiasa beringat bagaimana keadaan aku ini ketika di dalam liang lahad ketika berada di alam barzakh? "



Adakah tidur kita malam nanti akan menjadi tidur untuk selamanya?
Nyawa kita berada digenggaman Allah SWT.


Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, janganlah kita terlalu asyik dalam 'study' sahaja atau pun sentiasa leka di dalam hiburan dunia ini, sehingga iman kita tidak sempat diisi dengan makanan iman kita disertai dengan baja-baja hati kita dengan beribadah dan berzikir kita kepada Allah SWT, berselawat dan cinta kita kepada Rasulullah SAW dan juga dengan membaca buku 'ulangkaji' kita iaitu Al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah SAW untuk dipraktikan di dalam kehidupan kita seharian.



Labuhkan cinta kita kepada Allah dan Rasulullah SAW
dari terjun ke cinta nafsu syahwat.


Di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf kepada semua sahabat saya di UniMAP yang mengenali saya ini terutamanya para sahabat saya dan semua tenaga pengajar kursus Building Engineering dan rakan serumah saya di Kolej Kediaman UniMAP Wang Ulu, seandainya saya pernah terkasar bahasa, mengambil apa yang terlebih dan memberi apa yang terkurang sepanjang perkenalan kita selama ini. Insyallah ukhuwah persahabatan yang kita bina akan berkekalan sehingga di akhir hunjung ajal kita di dunia ini. Saya memohon kepada para sahabat agar doakan kejayaan saya agar lulus di program persediaan di UniKL nanti. Insyallah sepanjang saya di Kajang nanti, saya akan meneruskan membuat rakaman majlis ilmu di Masjid Jame' Pekan Kajang seperti biasa untuk dikongsi untuk penambahan ilmu kita bersama. Untuk posting blog akan datang saya akan upload kembali beberapa siri rakaman mp3 ceramah yang tidak sempat saya lakukan sebelum ini. Insyallah... Wassalam. [IBRAHiMSTDUiO]


0 comments:

Post a Comment